mutakhir

Rampas 3 kontena daging kerbau

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Tiga kontena yang membawa hampir 84 tan daging kerbau sejuk beku dari India bernilai lebih RM1 juta dirampas kerana melanggar syarat permit import.

Kontena itu dikesan dalam pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini pada jam 4.20 petang Selasa lalu.

Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, pihaknya mendapati tiga kontena itu berisi 83,988 kilogram (kg) daging kerbau sejuk beku melanggar kesalahan di bawah Seksten 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

"Berikutan itu, kita merampas dan menyita semua daging kerbau sejuk beku itu yang bernilai lebih RM1 juta itu untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mengikut akta itu, sabit kesalahan boleh menyebabkan didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Katanya, Maqis memandang serius isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 6:01pm
d