mutakhir

Selamatkan hutan paya kita seluas 400 hektar dari digondolkan

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan sudah mengenal pasti kawasan hutan paya laut seluas 400 hektar yang mahu diwartakan sebagai hutan simpan kekal selewat-lewatnya tahun hadapan.

Pengarahnya, Saleh Awaluddin berkata, cadangan mewartakan hutan paya laut sebagai hutan simpan penting bagi memastikan warisan alam itu tidak diganggu.

"Dalam usaha terbaharu itu, pihak jabatan sudah mengenal pasti lebih 400 hektar hutan bakau yang berpotensi. Kami bercadang menghantar permohonan ke agensi berkaitan untuk pengesahan sebelum dipanjangkan kepada kerajaan negeri.

"Kami berharap dapat mewartakan kawasan berkenaan berikutan ia aset berharga untuk pemuliharaan kawasan hutan paya laut," katanya selepas mengadakan lawatan ke lokasi penanaman bakau di pesisiran Pantai Batu 4, Port Dickson, di sini, tadi.

Antara tiga lokasi yang dilihat sesuai adalah sepanjang pesisiran Sungai Linggi , Sungai Sepang dan Sungai Lukut, Port Dickson.

Katanya, pewartaan lokasi berkenaan sebagai jaminan kawasan hutan paya laut tidak pupus dan memulihara kawasan berkenaan dari kerosakan jangka panjang yang pastinya merugikan banyak pihak.

Saleh berkata, pihak Jabatan Perhutanan negeri juga mahu memastikan pemuliharaan kawasan bakau di pesisiran pantai.

"Jika dahulu ia adalah kawasan lapang, kami melihat terdapat hakisan tanah di samping terdapat fungsi spesis akuatik seperti ikan, kerang, ketam dan siput. Ini cabaran untuk kami memulihara kawasan itu.

"Setakat ini usaha pihak kerajaan dalam penanaman bakau dilihat berjaya dengan sokongan orang ramai dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)" katanya.

Tambahnya, pihak Jabatan Perhutanan juga sudah menggubal rangka pengurusan hutan melalui pelan strategik pengurusan hutan negeri yang akan dikuatkuasakan selama lima tahun bermula 2021 hingga 2025.

"Kami memasukkan kepentingan pemuliharaan bakau dan pesisiran pantai negara bagi menjamin kesejahteraan masyarakat. Pelan ini juga adalah satu langkah baharu di peringkat negeri.

"Kami melihat kepentingan menanam bakau antaranya bagi mengelakkan kesan buruk ombak tsunami yang terjadi seperti tahun 2004 lalu," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 6:08pm
d