mutakhir

Sudah 44 hari PKPB, masih ramai dikompaun langgar SOP

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah masuk hari ke-44 di Selangor namun masih ramai yang dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Jurucakap Khas Ops Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, dalam tempoh 20 November hingga semalam, sebanyak 482 kompaun dikeluarkan.

"Sebanyak 165 kompaun dikeluarkan kerana tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka (138), tidak mencatit di buku ketika masuk ke premis (64), tiada dokumen rentas negeri (47), lebih muatan dalam kenderaan (22) manakala 46 kompaun bagi lain-lain kesalahan tidak patuh SOP.

"Sepatutnya kita sudah sampai ke peringkat ini, masyarakat lebih matang dan bijak dalam mengambil tindakan.

"Terutama sekali tindakan yang boleh menyebabkan kesihatan diri mereka terjejas, sebab itu kita minta masyarakat beri kerjasama penuh pada kerajaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Muhammad Yazid berkata, kompaun itu dikenakan dalam tempoh enam hari sehingga semalam menerusi pemeriksaan pasukan bertindak operasi pematuhan SOP PKPB yang dilakukan.

"Sebanyak 523 pasukan digerakkan terdiri daripada 2,500 keanggotaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 29,936 pemeriksaan dijalankan membabitkan 8,720 premis (restoran, kilang, bank, pejabat kerajaan), 2,557 pasar raya, 1,348 terminal awam (darat, air, udara), 14,543 kenderaan persendirian, 493 pasar awam, 2,155 tempat ibadah dan 120 tapak pembinaan," katanya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 31 sekatan jalan raya (SJR) didirikan di 14 daerah polis di Selangor di susur keluar masuk lebuh raya.

"Sebanyak 495,569 kenderaan diperiksa dan dari jumlah itu, seramai 2,908 diarahkan berpatah balik kerana tiada kebenaran merentas sempadan," katanya.

Sementara itu katanya, sebanyak 46,288 permohonan pergerakan PKPB diterima dalam tempoh terbabit dan 1,207 permohonan ditolak.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 6:25pm
d