mutakhir

Kerana upah RM50 bawa kayu getah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang daripada empat pemandu lori yang dikenakan tindakan dalam Ops Khas Perdagangan, mendakwa hanya memandu untuk upah RM50 setiap perjalanan bagi membawa muatan kayu getah.

Bagaimanapun lelaki berusia 28 tahun itu mendakwa tidak tahu muatan dibawanya mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya selain cukai jalan dan lesen memandunya sudah tamat tempoh.

Dia ditahan di kawasan Pokok Sena dalam operasi itu yang berakhir 1 pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, tindakan pemandu lori itu berisiko menyebabkan kemalangan disebabkan muatan tidak diatur dengan baik dan mudah terjatuh.

"Operasi dilakukan di Jalan Langgar-Pokok Sena; Jalan Pokok Sena-Kuala Nerang; Jalan Pokok Sena-Naka dan Jalan Langgar ke Nawa. Ia susulan aduan awam mengenai lori membawa kayu getah yang tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan selain ada yang menggunakan kenderaan sudah uzur.

"Pemeriksaan dilakukan ke atas lima kenderaan membawa muatan kayu," katanya ketika ditemui.

Chuah berkata, empat sama dikeluarkan terhadap pemandu dengan tiga daripadanya membawa muatan bahaya, manakala satu kesalahan kerana mengubah suai kenderaan.

"Tiga pemandu lori ditahan mengikut kesalahan Kaedah-kaedah Lalulintas 1959. Operasi ini turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 7:48pm
d