mutakhir

65 masih tunggu keputusan saringan Covid-19

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seramai 95 kontak rapat kluster terkini di Johor, Kluster Gemilang sudah disaring, dengan 65 individu masih menanti keputusan saringan mereka, setakat hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, ia susulan kes indeks bagi Kluster Gemilang membabitkan seorang pekerja di sebuah syarikat logistik di bandar raya ini.

Katanya, setakat ini, 26 kes positif Covid-19 dikesan hari ini, termasuk pencetus kluster berkenaan.

"Jabatan Kesihatan Johor melaporkan satu kluster baharu iaitu Kluster Gemilang (mukim Tebrau) membabitkan daerah Johor Bahru.

"Kes ini dikenalpasti positif Covid-19 pada Ahad lalu, hasil saringan kemasukan seorang pekerja syarikat logistik berkenaan di sebuah hospital swasta, susulan dia mengalami gejala susah nafas.

"Hasil saringan kontak rapat mendapati 25 rakan sekerjanya dikesan positif Covid-19 dan semua kes dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan diasingkan.

"Setakat hari ini, 95 kontak rapat sudah disaring di mana 26 kes positif, membabitkan 19 bukan warganegara dan tujuh warga tempatan," katanya.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, 65 individu disaring masih lagi menunggu keputusan mereka.

Katanya, susulan bilangan kes yang tinggi membabitkan kluster berkenaan, Jabatan Kesihatan Johor menjalankan ujian saringan besar-besaran ke atas pekerja syarikat berkenaan termasuk pemandu dan kelindan lori.

"Pekerja yang terbabit diberikan arahan pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) bagi mengawal pergerakan mereka.

"Jabatan Kesihatan masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan pengesanan kontak rapat.

"Memandangkan syarikat terbabit mempunyai hubungan kait dengan pelbagai industri di daerah ini, jabatan ingin menasihati supaya mereka yang terbabit melaksanakan saringan Covid-19 bagi pekerja mereka sebagai satu prosedur pencegahan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 9:06pm
    d