mutakhir

Pekan Kajang sunyi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Lenggang dan sunyi. Itu keadaan di beberapa restoran serta pasar raya di sekitar pekan ini dan Bandar Baru Bangi, di sini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor sejak 14 Oktober lalu.

Tinjauan wartawan Harian Metro bersama sepasukan pegawai serta anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang menjalankan pemantauan Ops Covid-19 di lokasi berkenaan mendapati hanya beberapa pengunjung berada di dalam restoran.

Malah, tinjauan bermula jam 3 hingga 6 petang tadi juga mendapati ada beberapa premis yang lengang kerana tiada pengunjung.

Pemeriksaan dilakukan terhadap orang awam di lokasi berkenaan mendapati mereka patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera serta memakai pelitup muka.

Pengurus sebuah pusat tekstil di Bandar Baru Bangi, Mahathir Mohamad berkata, jumlah pengunjung di premis berkurangan 90 peratus berbanding sebelum pelaksanaan PKPB.

"Jika dulu kedai dipenuhi lebih 500 pengunjung setiap hari pada hujung minggu. Namun, kini hanya pekerja yang ada di dalam premis.

"Walaupun jualan pada harga lelong dilakukan ketika ini, jumlah pengunjung masih kurang. Ini sekali gus menjejaskan pendapatan perniagaan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Pemilik sebuah kedai perabot di Taman Seri Langat, di sini, See Foong Yoke, 45, berkata, ada kalanya langsung tiada pengunjung datang ke premisnya sejak pelaksanaan PKPB.

"Dulu, masih ada lagi orang datang untuk beli perabot tapi sekarang ini mahu dapat seorang pengunjung pun susah. Hanya pada hujung minggu, mungkin ada seorang dua pengunjung yang datang.

"Keadaan ini menyebabkan saya memberi fokus menjalankan perniagaan secara dalam talian menerusi media sosial seperti Facebook," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sebanyak 898 kompaun dikeluarkan pihaknya sejak pelaksanaan PKPB di Selangor bermula 14 Oktober lalu sehingga semalam.

"Antara kesalahan utama dikenal pasti yang dilakukan adalah gagal mengemukakan permit rentas negeri atau daerah serta tidak memakai pelitup muka membabitkan pemilik kedai dan pekerja selain orang ramai di tempat awam.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya patuh pada SOP ditetapkan. Bagi mereka yang memerlukan kebenaran pergerakan, pastikan tujuan itu hanya atas alasan dibenarkan saja.

"Pada masa sama, adalah lebih baik sekiranya mereka dapat menyediakan dokumen sokongan bagi tujuan itu," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 9:22pm
d