mutakhir

Jangan leka, cepat pindah

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: "Jangan leka, cepat pindah jika air sungai melimpahi tebing kerana hujan lebat di Hulu Kelantan sudah bermula," kata Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin.

Beliau mengeluarkan peringatan itu kepada lebih 10,000 penduduk yang tinggal di kawasan rendah termasuk di tepi sungai mudah berlaku banjir musim tengkujuh ini.

Menurutnya, hujan lebat bermula sejak awal pagi ini menyebabkan tiga sungai utama termasuk Sungai Galas, Nenggiri dan Lebir menunjukkan peningkatan paras air.

"Oleh, kita harap mereka membuat persiapan awal dengan menyimpan barangan penting di tempat selamat dan tinggi.

"Kejadian banjir musim tengkujuh di Hulu Kelantan kerap berlaku dalam masa yang cepat apabila hujan lebat tidak berhenti lebih enam jam," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Taufik berkata kadangkala air di tiga sungai utama itu melimpah dengan cepat dalam masa dua jam sebelum surut semula dalam tempoh sama selepas itu.

"Kalau mereka lambat untuk membuat persiapan pindah sudah tentu berdepan dengan masalah terperangkap banjir," katanya.

Bagaimanapun, beliau memuji sikap penduduk beberapa kampung di pinggir sungai itu mengambil inisiatif sendiri menyediakan bot di rumah masing-masing.

"Ini bermakna, mereka sudah membuat persiapan awal menghadapi kemungkinan banjir dan apa yang perlu di ingatkan juga jaga keselamatan anak-anak.

"Peringatan juga kepada penduduk Orang Asli di tepi bukit yang mudah terdedah kejadian banjir lumpur," katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 10:44am
d