mutakhir

Nafi sebabkan kemalangan cederakan polis

Oleh BERNAMA

Ipoh: Penganggur mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kemalangan jalan raya sehingga mencederakan anggota polis yang sedang bertugas dalam kejadian di sini, Selasa lalu.

Nor Azman Mat Salleh, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar.

Berdasarkan pertuduhan, Nor Azman didakwa menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kemalangan dan mengakibatkan kecederaan parah terhadap Korperal Mohd Aizal Md Lazim yang ketika itu sedang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Silibin, di sini 11.15 pagi, 24 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Izzati Mazlan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 sebelum tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan isterinya sedang mengandung dan mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala lesen memandunya digantung sehingga kes selesai dan menetapkan 14 Januari depan sebagai tarikh sebutan kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 1:08pm
d