mutakhir

Tengkujuh yang dirindui: Bekas banduan

Oleh BERNAMA

Kuala Berang: Merasai titisan deras hujan, makan ubi kayu rebus dan peluang mengharung air banjir membuatkan tengkujuh tahun ini amat bermakna buat seorang bekas banduan.

Azman (bukan nama sebenar), 47, yang baru dibebaskan selepas mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong, bersyukur dapat melepaskan rasa rindu untuk mengulang kenangan sebagai anak kampung, apatah lagi setelah 20 tahun berkurung di dalam tirai besi.

Ketika ditemui Bernama baru-baru ini, beliau berkata, air matanya masih belum kering meskipun hampir tiga bulan dibebaskan terutama apabila mendengar bunyi hujan yang menimpa atap dan berasa bagaikan mimpi dapat melihat air memenuhi kawasan paya.

"Tipulah jika saya tidak menangis. Adakala saya rasa bagaikan kanak-kanak, berkali-kali sentuh air hujan... senyap-senyap saya buat, bimbang juga ada yang tengok.

"Syukurlah saya masih ada kesempatan untuk mandi air hujan... berasa seolah-olah sedang bermimpi. Kalau di penjara dulu ada juga sekali sekala tubuh terkena air hujan, tapi bukanlah untuk mandi seperti yang dilakukan kebanyakan orang kampung," katanya yang telah pun membeli beberapa meter pukat untuk menangkap ikan di sungai.

Azman, yang sepatutnya menjalani hukuman penjara sepanjang hayat, adalah antara 13 bekas ahli kumpulan Al-Ma'unah yang dibebaskan awal susulan pengampunan oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63.

Beliau dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh seketika pada 2000, sebelum ke Penjara Kajang selama lapan tahun, kemudiannya dipindahkan ke Penjara Marang selama 12 tahun, sejak 2008 dan akhirnya pada 17 Ogos lalu, beliau dibebaskan.

Tambahnya, ketika di dalam penjara beliau sering terbayang suasana banjir dan teringkat kenangan memasang bubu serta menahan pukat bersama rakan-rakan, kini tidak menyangka peluang itu masih terbuka untuknya.

"Oleh kerana penjara terletak di sekitar pantai Marang, hujan tak sama dengan Hulu Terengganu... angin sahaja yang kuat di sana (Marang). Kalau di sini hujan lebat sampai jalan raya pun boleh tenggelam.

"Masa kat 'dalam' (penjara), emosi memang terganggu bila musim tengkujuh. Masa itulah kena banyak bersabar dan berdoa supaya tidak tertekan apabila asyik tengok dinding dan siling sahaja," katanya yang masih kekal dengan amalan membaca al-Quran setiap hari sepertimana di penjara.

Dalam pertemuan tersebut, Azman kelihatan sudah semakin selesa berada di tempat awam malah beliau kini sudah mempunyai lesen kenderaan.

Beliau bagaimanapun masih kekal meletakkan tanda 'L' pada motosikal yang dinaiki kerana menganggap masih belum faham sepenuhnya keadaan jalan raya dan adakala takut melihat begitu banyak kenderaan lalu-lalang.

"Sebelum ditahan dulu bukan sahaja lesen kereta dan motosikal, tetapi ada juga lesen lori. Buat masa ini cukuplah sekadar dapat bergerak ke bandar dan bawa kakak ke hospital. Kalau nak dibanding suasana 90-an dulu, kini jauh berbeza. Masih banyak yang saya perlu belajar dan fahami," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah beliau mempunyai perancangan untuk berumah tangga, Azman berkata, apa yang menjadi keutamaannya kini ialah mahu bekerja dan berbakti kepada keluarga, namun tidak menolak sekiranya bertemu wanita yang baik.

Beliau yang mempunyai kemahiran mengukir dan membuat perabot berasaskan kayu sempat melahirkan harapan agar ada mana-mana pengusaha dapat mengambilnya bekerja, apatah lagi kerajaan kini menggalakkan majikan berbuat demikian untuk mendapat pelepasan cukai.

"Kalau dapat bekerja di sekitar Hulu Terengganu lebih baik. Sekarang ini saya masih mempunyai wang hasil simpanan ketika bekerja di penjara tapi dah berkurang pun," katanya yang mengakui masih tidak putus menerima tetamu setelah dibebaskan.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 1:26pm
d