mutakhir

2 beradik didakwa eksploitasi pekerja warga asing

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Dua wanita yang juga adik beradik didakwa di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan warga Indonesia bagi maksud eksploitasi kerja paksa dan mengambil pekerja yang tidak mempunyai pas sah.

Kedua-dua tertuduh iaitu Lie Ying Har, 53, dan LieYing Ping, 50 masing-masing didakwa atas dua dan lima pertuduhan membabitkan enam wanita warga Indonesia berusia antara 22 hingga 40 tahun.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pertama iaitu Ying Har memperdagangkan wanita Indonesia bagi maksud eksploitasi kerja paksa di Lot 3554, Taman Seri Indah, Jalan Slim Lama, Tanjung Malim pada 2 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Untuk pertuduhan itu, tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63, tertuduh didapati mengambil seorang pekerja Indonesia yang tidak mempunyai pas sah di alamat sama pada pertengahan tahun 2009.

Tertuduh kemudiannya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagi tertuduh kedua, Ying Ping didakwa memperdagangkan empat wanita Indonesia bagi maksud eksploitasi kerja paksa masing-masing di sebuah kedai di Lot 4, PT 5034 dan Lot 2, PT 5032, Jalan Rumah Rehat, Tanjung Mualim pada 2 November lalu.

Pertuduhan yang dibacakan secara berasingan itu dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Untuk empat pertuduhan itu tertuduh dibenarkan ikat jamin masing-masing dua pertuduhan sebanyak RM8,000 dan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut didakwa mengambil seorang pekerja yang tidak mempunyai pas yang sah di sebuah kedai di Lot 2, PT 5032, Jalan Rumah Rehat, Tanjung Malim pada 7 Disember 2012.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 dan kemudian tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli dan Siti Ruvinna Mohd Rawi manakala dua beradik itu diwakili peguam Fong Phooi Nam. Sebutan semula kes untuk kedua-dua tertuduh ditetapkan pada 18 Januari tahun hadapan.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 1:52pm
d