mutakhir

Anggota polis di sempadan Sarawak-Kalimantan jangan leka

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Anggota polis yang terbabit dalam operasi di sempadan Sarawak-Kalimantan diarah sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang ancaman termasuk tindakan agresif penyeludup.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, walaupun tiada rekod ancaman bersenjata berlaku sebelum ini, kesiapsiagaan perlu dilaksana sepanjang masa.

Beliau berkata, setiap anggota tidak boleh leka dengan situasi tenang ketika ini kerana sesuatu yang buruk boleh berlaku berikutan banyak aktiviti penyeludupan dikesan di sempadan darat dan perairan negeri ini.

"Apa yang berlaku di sempadan Malaysia-Thailand itu harus dijadikan iktibar dalam kita melaksanakan tugas kawalan di sempadan Malaysia-Indonesia di sini.

"Anggota kita yang terbabit dalam Op Benteng dan Op Khazanah di sempadan harus bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja ancaman yang mungkin berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ketua JSJ Sarawak yang baharu, Senior Asisten Komisioner Mohd Salahuddin Che Ali menerima tugas daripada pemangku jawatan itu, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali.

Aidi berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) menangani banyak kegiatan jenayah rentas sempadan di negeri ini khususnya cubaan menyeludup masuk rokok dan minuman keras, manakala penyeludupan keluar pula membabitkan barangan keperluan harian seperti bahan api.

Selasa lalu, seorang anggota PGA meninggal dunia manakala seorang lagi parah selepas ditembak penyeludup di Padang Besar, Perlis.

Mengenai jenayah indeks di negeri ini, Aidi berkata, kes curi dan pecah rumah masih menunjukkan peningkatan manakala jenayah kekerasan, kecurian kenderaan pula menunjukkan penurunan tahun ini.

Sementara itu, Mohd Salahuddin yang sebelum ini Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman berikrar untuk menurunkan kadar jenayah indeks di Sarawak.

"Secara purata, jenayah indeks di Sarawak adalah bawah 40 kes sehari dan saya yakin ia dapat dikurangkan," katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 1:58pm
d