mutakhir

RM18 juta dadah dirampas, 7 ditahan [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Padang Terap: Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah terbesar bagi tahun ini, susulan penahanan tujuh lelaki dan penemuan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM18 juta berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata, penahanan yang dilakukan dalam empat serbuan berasingan pada Rabu dan Khamis itu membabitkan tangkapan lima lelaki warga Thailand dan dua lelaki tempatan berusia 32 hingga 48 tahun.

"Serbuan pertama pada 8 malam Rabu lalu, polis menahan sebuah kereta jenis Wira Aeroback di tepi Jalan Padang Sanai dan menahan dua lelaki Thailand berumur 28 tahun. Pemeriksaan lanjut menemukan dadah jenis heroin seberat lebih 108 kilogram (kg) di bahagian belakang bonet kereta dianggarkan bernilai RM18 juta.

"Pada 6 pagi Khamis, dibantu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Bidor satu serbuan dilakukan di kawasan Hutan Simpan Situlang, Padang Terap dan seorang lelaki tempatan dan warga Thailand yang menaiki kereta jenis Pajero Mitsubishi berjaya ditahan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemukan dadah jenis ganja seberat 7.75 kg bernilai RM20,000 di bahagian tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Hasanuddin berkata, serbuan seterusnya dilakukan di kawasan sama pada 10.30 pagi dan pihaknya berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan warga Thailand yang menaiki kereta jenis Mitsubishi Triton dan turut menemukan selaras senapang patah dan sebilah parang panjang bersama suspek.

"Polis turut menjumpai dadah jenis syabu seberat 9.3 gram dan 5.18 gram dadah jenis pil kuda yang dianggarkan bernilai RM1,450. Kedua-dua suspek yang positif dadah jenis syabu itu ditahan dan dibawa ke IPD Padang Terap untuk siasatan lanjut.

"Kemudian, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga Thailand yang dilihat mencurigakan di kawasan hutan yang sama. Lokasi penahanan di kawasan hutan itu sangat hampir dengan sempadan dan terdapat beberapa khemah sementara dipasang yang disyaki dijadikan sebagai lokasi transit," katanya.

Katanya, dia tidak menafikan penahanan semua suspek itu mempunyai kaitan antara satu sama lain dan mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 2:25pm
d