mutakhir

Usah buang pakaian terpakai sesuka hati

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) berharap peniaga pakaian terpakai melantik kontraktor kutipan sisa (ICI) bagi mengurus serta melupuskan lebihan produk jualan mereka mengikut prosedur ditetapkan.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, tindakan itu penting bagi memastikan sisa terbabit dibuang dengan kaedah betul bukannya dibuang di tong sampah awam hingga berlaku pencemaran.

Menurutnya, pihaknya kesal dengan tindakan sesetengah peniaga yang hanya mengambil mudah serta mementingkan keuntungan semata-mata dengan membuang lebihan pakaian terus ke tong sampah awam.

"Perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana pakaian terpakai boleh dilupuskan dengan kaedah kitar semula.

"Tindakan tidak bertanggungjawab peniaga terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

"Saya berharap tindakan membuang pakai terpakai termasuk di tong sampah awam tidak terus berlaku dan usaha mengesan pihak tidak bertanggungjawab itu akan dilakukan dengan pelbagai cara," katanya.

Sebelum ini, tular di Facebook mengenai perbuatan pihak tidak bertanggungjawab membuang pakaian terpakai ke dalam tong sampai awam di sekitar Balok dan beberapa lokasi di daerah ini.

Sharudin berkata, pihaknya ke lokasi yang terbabit bagi menjalankan kerja pembersihan dan pemeriksaan mendapati antara 80 hingga 120 kilogram pakaian terpakai dipercayai dibuang peniaga tidak bertanggungjawab

.

Beliau berkata, dalam usaha membantu peniaga, SWcorp sedia bekerjasama dengan peniaga pakaian terpakai untuk mengadakan Program Free Market iaitu memberi barangan terpakai termasuk pakaian kepada individu memerlukan secara percuma.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 3:05pm
d