mutakhir

Murah gila sate ni...[METROTV]

Oleh Rosman Shamsudin

Trolak: Satu cucuk sate dijual antara 40 sen hingga 50 sen. Biarpun difikir ia tidak masuk akal pada masa kini, namun itulah harga sate yang dijual seorang peniaga sejak 16 tahun lalu.

Penjual sate, Mohd Bakri Ahmad, 55, berkata, sejak mula berniaga, dia menjual satu cucuk sate ayam dengan harga 40 sen manakala daging pula pada harga 50 sen.

"Memang itulah harga jualan saya sejak dulu lagi. Sambil berniaga kita bersedekah kepada orang ramai," katanya ketika ditemui di gerai sate miliknya di Pekan Trolak, di sini.

Menurutnya, dia sudah mempelajari cara membuat sate daripada bapa angkatnya yang juga peniaga sate di Bentong, Pahang sejak berusia tujuh tahun.

"Sebelum berniaga sate saya mengambil upah menoreh getah namun apabila harga (getah) jatuh menyebabkan saya memulakan perniagaan ini.

"Mulanya, hanya seekor ayam sahaja yang digunakan untuk membuat sate dan ketika berniaga di pekan Bidor sambutan tidak menggalakkan," katanya.

Katanya, seorang rakan kemudian mengajaknya berniaga di pasar malam dan sejak itu satenya mula dikenali ramai disebabkan harganya murah.

Mohd Bakri berkata, sejak dikenali ramai, permintaan terhadap sate keluarannya itu mula meningkat.

"Aidilfitri tahun lalu, saya mampu menjual kira-kira 500,000 cucuk sate sebulan melalui tempahan orang ramai," katanya.

Katanya, sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di susuli dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula beliau mampu menjual kira-kira 9,000 cucuk sehari termasuk di pasar malam.

"Namun, apabila PKP dan PKPB dilaksanakan, saya hanya mampu menjual 4,000 cucuk sehari sahaja tetapi masih mengekalkan harga sama.

"Tidak perlu menjual dengan harga yang tinggi kerana jika kita menjual dengan harga murah sudah tentu semua pelanggan pelbagai golongan dapat merasainya," katanya.

Katanya, berkat menjual sate dengan harga murah itu menyebabkannya mampu membeli tanah, membina rumah dan memiliki kenderaan sendiri.

"Tidak rugi kalau kita berniaga sambil bersedekah kerana tidak kurang harta seseorang itu jika kita bersedekah malah Tuhan akan menambah rezeki kita lagi," katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 3:13pm
d