mutakhir

Enam ditahan terbabit 44 kes pecah rumah

Oleh Mohd Amin Jalil

Nilai: Polis menahan enam lelaki tempatan disyaki terbabit dengan kegiatan pecah rumah dan curi di daerah ini dan luar Negeri Sembilan sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, suspek berusia antara 25 hingga 35 tahun itu ditahan menerusi Ops Pintu Bunga Raya dan empat siri serbuan.

"Hasil maklumat orang awam, satu operasi dilancarkan pada 21 dan 22 November oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

"Dalam operasi itu, polis menahan enam lelaki tempatan membabitkan empat siri serbuan di Mantin dan Nilai selain pemeriksaan di Merlimau, Melaka, Kangkar Pulai, Johor dan Semenyih, Selangor," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 23 November lalu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama 14 tahun dan denda serta disebat.

Mohd Fazley berkata, ujian saringan air kencing ke atas keenam-enam suspek terbabit mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

"Rekod juga menunjukkan semua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah," katanya.

Beliau juga berkata, dalam serbuan dilakukan, polis merampas dua utas jam tangan pelbagai jenama, telefon bimbit pelbagai jenama, mata wang asing dan seutas rantai warna keemasan.

"Turut dirampas ialah masing-masing sebuah kereta dan motosikal serta satu resit pajak gadai, beg dompet, sebilah kapak dan peralatan pecah rumah," katanya.

Menurutnya, modus operandi kumpulan itu ialah bergerak secara berkumpulan dan menyasarkan kediaman persendirian terutamanya di kawasan perumahan terpencil.

Beliau berkata, kumpulan terbabit dipercayai aktif sejak Mac lalu dengan aktiviti memecah masuk dan curi dilakukan sekitar antara jam 3 hingga 6 pagi.

"Mereka dipercayai terbabit dengan 44 kes pecah rumah iaitu 14 di Mantin, Nilai (12) dan Seremban (11), manakala Semenyih, Selangor (empat), Jasin, Melaka (dua) dan satu kes di Ipoh, Perak.

"Jumlah kerugian keseluruhan bagi semua kes ini dianggarkan sebanyak RM204,000.

"Orang ramai diseru memberikan kerjasama kepada polis supaya kegiatan ini dapat dibendung sepenuhnya," katanya.

Keterangan gambar

SEREMBAN 27 NOVEMBER 2020. Mohd Fazley Ab Rahman menunjukkan barangan yang dirampas hasil serbuan terhadap kegiatan pecah rumah dan curi. NSTP/MOHD AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN.

-tamat.

#kw, pecah rumah, enam lelaki ditahan, barangan dirampas.

From: Md Amin Jalil

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 5:02pm
d