mutakhir

3 lelaki direman kirim 2 peluru hidup kepada pegawai kastam

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Tiga lelaki ditahan di sini, semalam kerana disyaki membuat ugutan jenayah dengan menghantar bungkusan berisi peluru kepada seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Tiga suspek berumur 35 hingga 39 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat pegawai kanan berkenaan pada jam 12.05 tengah hari semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya sedang memburu seorang lelaki, Yong King Ling, 35, dipercayai dalang utama kes ugutan itu.

Beliau berkata, semua suspek dipercayai tidak berpuashati dengan operasi khas yang dilancarkan penguat kuasa JKDM Kuching yang diketuai pegawai kanan terbabit, awal bulan ini.

"Semalam, pegawai kanan JKDM itu menerima satu bungkusan iaitu sampul surat yang dikirim ke rumahnya di Jalan Matang di sini.

"Ia mengandungi dua butir peluru hidup disertakan sekeping nota bertulis 'Got 2 bullets, one long one short, which one you want'," katanya pada kenyataan hari ini.

Aidi berkata, pegawai JKDM itu terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sebelum membuat laporan di Balai Polis Gita.

"Susulan laporan itu, Cawangan Jenayah Berat D9, Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak menjalankan risikan dan menahan tiga suspek.

"Kesemua suspek, dengan dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, kini direman sehingga 1 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 507, Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Yong King Ling, yang beralamat terakhir di No 72, Lane 6, Rejang Park, Sibu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ramle Husin atau mana-mana balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 5:40pm
d