mutakhir

Ambil upah jahit pukat 6 jam sehari [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Setiap kali menjelang musim tengkujuh, kebanyakan nelayan hilang punca pendapatan apabila tidak dapat turun ke laut untuk mencari rezeki dan menyara keluarga.

Perubahan Monsun Timur Laut yang menyebabkan hujan dan laut bergelora menyaksikan Mat Yeh Mamat, 62, yang lebih 40 tahun menjadi nelayan terpaksa menggantung enjin bot sepanjang musim tengkujuh.

Mat Yeh berkata, dalam tempoh bermula November hingga pertengahan Mac tahun hadapan, semua nelayan tidak dapat turun ke laut kerana keadaan cuaca tidak menentu selain khuatir dengan ombak besar.

"Bagaimanapun, keadaan cuaca tidak menentu dan laut bergelora menjadi perkara biasa dan ia perlu dilalui setiap kali tibanya musim tengkujuh yang dianggap asam garam dalam kehidupan seorang nelayan.

"Tidak dapat menangkap ikan bukan alasan untuk saya berehat, malah saya menggunakan kesempatan itu dengan mengambil upah menjahit pukat ditempah nelayan di sekitar Pulau Gajah, Sabak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Gajah Hilir, di sini.

Bapa kepada dua anak berusia antara 17 hingga 24 tahun itu berkata, dia mengambil tempahan menjahit pukat sejak lebih 10 tahun lalu selepas mewarisi kepakaran menjahit pukat daripada arwah ayahnya ketika berusia belasan tahun.

Menurutnya, menjahit pukat memerlukan ketelitian dan dia mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam sehari untuk menyiapkannya sedikit demi sedikit.

"Semua barang diperlukan untuk menjahit pukat dibeli sendiri oleh nelayan yang kemudiannya menghantar ke rumah saya dan saya tidak perlu mengeluarkan modal.

"Masa diambil untuk menjahit setongkol pukat antara enam hingga 10 hari bergantung kepada jenis pukat dan upah diterima sebanyak RM50.

"Saya bersyukur kerana kemahiran menjahit pukat ini membolehkan saya menampung perbelanjaan keluarga apabila tidak dapat turun ke laut pada musim tengkujuh," katanya yang sudah tidak turun ke laut sejak akhir Oktober lalu.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 6:56pm
d