mutakhir

Pusat panggilan judi online diserbu, 4 ditahan

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Pusat panggilan sindiket perjudian dalam talian yang mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit sehari lumpuh selepas polis menyerbu sebuah apartment yang dijadikan markas operasi aktiviti itu petang semalam.

Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, pihak berkuas menahan empat lelaki berusia antara 25 hingga 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya mendapati sindiket itu mula beroperasi sejak September lalu dan menggunakan modus operandi dengan menghantar mesej melalui WhatsApp secara rambang kepada orang ramai.

"Pelanggan yang berminat dengan mesej yang dihantar perlu membalas 'SETUJU' dan membuat bayaran ke dalam akaun bank sindiket sebelum mereka menerima maklumat identiti (ID) pengguna bagi meneruskan permainan.

"Kemudian, mereka perlu memuat naik jenis permainan judi online yang mereka mahu sebelum log masuk menggunakan ID diberi.

"Setiap pelanggan akan menerima mata dalam bentuk kredit iaitu satu mata bersamaan RM1 dengan jumlah pertaruhan dianggarkan RM2,000 hingga RM3,000 setiap hari yang ia amat lumayan hingga menarik ramai orang untuk bermain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, perniagaan perjudian itu beroperasi 24 jam sehari dengan pekerja akan mengawal komputer utama serta telefon pintar.

"Siasatan ke atas empat lelaki yang ditahan memaklumkan mereka baharu bekerja dengan sindiket terbabit dan menerima gaji antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.

"Polis kini giat mengesan dalang sindiket itu untuk tindakan selanjutnya,"katanya.

Keempat-empat suspek yang ditahan kini disiasat dibawah Seksyen 41(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 8:09pm
d