mutakhir

Berani lawan peragut

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Tindakan berani seorang wanita melawan dan menarik semula begnya menggagalkan cubaan ragut di Taman Kamariah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, ketika kejadian 11.15 pagi, mangsa berusia 37 tahun berjalan menyeberang jalan di lokasi berkenaan.

"Mangsa kemudian dihampiri sebuah motosikal Honda Wave ditunggang seorang lelaki dari arah belakang yang cuba menarik beg wanita berkenaan.

"Namun, mangsa sempat melawan dan menarik semula beg itu tetapi ia menyebabkan tali beg wanita berkenaan terlepas sebelum suspek terus melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan kecederaan dalam kejadian itu.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Nur Atikah di talian 03-6126222 atau 018-3648044," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 30 saat menunjukkan wanita menyeberang jalan di Taman Kamariah, di sini, diragut seorang lelaki menaiki motosikal tular di media sosial sejak semalam.

Dalam video itu menunjukkan penunggang motosikal berkenaan gagal meragut beg tangan wanita terbabit.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 10:19pm
d