mutakhir

Air Sungai Golok kembali lepasi paras amaran

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Paras air Sungai Golok kembali melebihi paras amaran akibat hujan lebat tanpa henti sepanjang hari dan boleh mengakibatkan banjir gelombang pertama.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 6 petang, hari ini, paras air Sungai Golok mencatat bacaan 8.22 meter melepasi tahap amaran iaitu lapan meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, ia adalah bacaan paras air tertinggi setakat ini selepas mencatat bacaan 8.03 meter awal pagi semalam, namun surut sedikit pada kedudukan waspada sejak tengah hari semalam.

"Paras air Sungai Golok mungkin meningkat lagi bergantung kepada taburan hujan di kawasan terbabit serta hulu sungai selain air melimpah tebing apabila mencapai paras lebih 10 meter.

"Rekod sebelum ini menunjukkan paras waspada bagi Sungai Golok ialah tujuh meter, manakala amaran pula lapan meter diikuti paras bahaya sebanyak sembilan meter.

"Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Rantau Panjang bersiap sedia 24 jam jika sebarang kemungkinan berlaku bagi misi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain Sungai Golok, Sungai Kelantan di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, turut mencatat bacaan melebihi paras amaran iaitu 58.69 meter dan Sungai di Kuala Koh pula melebihi paras waspada iaitu 67.71 meter.

Imran berkata, beberapa penempatan di kawasan rendah sekitar Rantau Panjang seperti Kampung Jejawi, Kampung Lanchang, Kampung Bongor, Kampung Putat Tujuh, Kampung Pengkalan Teluk dan Kampung Tok Derpah, sudah dinaiki air.

"Penduduk dinasihatkan bersedia jika banjir gelombang pertama berlaku, namun berharap ia bukanlah bah besar dan masih boleh dikawal kerana bimbang keselamatan masyarakat setempat.

"Sebenarnya, satu cabaran besar untuk menghadapi banjir kali ini kerana kita terpaksa berhadapan dengan pendemik Covid-19, namun anggota sentiasa bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk memberi khidmat terbaik," katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 10:31pm
d