mutakhir

5 jam intip, sekumpulan lelaki ditahan berparti bersama GRO [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Kegiatan sekumpulan lelaki yang menyertai parti liar bersama pelayan pelanggan (GRO) di sebuah spa di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini, terbongkar dalam serbuan, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, serbuan Operasi Noda itu itu dilakukan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dengan Balai Polis Seri Kembangan hasil aduan awam pada 11.30 malam.

"Dalam operasi itu, seramai 19 individu membabitkan lapan lelaki serta 11 wanita ditahan. Siasatan mendapati lelaki terbabit adalah pelanggan premis berkenaan, manakala semua wanita itu disyaki GRO warga Vietnam.

"Semua mereka ini dikesan bersembunyi di bilik rahsia selepas menyedari kehadiran pihak polis yang memecah masuk dari pintu belakang premis selepas intipan dilakukan kira-kira lima jam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razali berkata, premis itu dipercayai hanya menawarkan penganjuran parti liar kepada pelanggan tertentu sahaja.

"Kami percaya tiada tawaran khidmat spa disediakan berikutan keadaan premis yang tidak terurus dan agak kosong.

"Malah, premis itu juga didapati mempunyai beberapa laluan rahsia bagi membolehkan pengunjung atau GRO terbabit melarikan diri ketika serbuan dilakukan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyiasat kadar bayaran yang dikenakan premis berkenaan untuk kegiatan parti liar terbabit.

"Sembilan pelanggan warga tempatan itu turut dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Katanya, semua tangkapan wanita warga asing berkenaan dibawa ke IPD Serdang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 10:04am
d