mutakhir

Harimau kumbang baham lembu

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Kuala Pilah : "Pada mulanya saya ingatkan kematian lembu disebabkan perbuatan khianat. Namun apabila melihat bangkai lembu di tepi jalan di Kampung Panglang, saya tahu ia bukan," kata Baharin Mohamad, 52.

Baharin dari Kampung Tengah mendakwa dua lembu ternakan miliknya mati dibaham harimau kumbang akhir Oktober lalu manakala satu lagi selang seminggu selepas itu.

"Terdapat kesan gigitan pada tengkuk lembu yang mati selain organ dalaman haiwan berkenaan turut hilang. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) ada memasang perangkap bermula 14 November lalu namun sehingga hari ini ia kosong tanpa umpan

"Hanya pada hari pertama sahaja umpan anak kambing milik penduduk diletakkan dalam perangkap," katanya ketika ditemui.

Baharin mendakwa rakan dari kampung berhampiran seperti Kampung Galau, Kampung Ulu Pasir dan Kampung Sikai turut diganggu harimau terbabit yang masuk ke kawasan kampung dan membunuh ternakan penduduk.

Menurutnya, dia juga pernah mengintai bangkai lembu yang ditinggal pada malam hari bagi memastikan harimau berkenaan datang semula memakan bangkai namun hampa.

"Yang makan bangkai lembu itu adalah sekumpulan babi hutan. Saya menternak 75 ekor lembu namun tidak membelanya di dalam kandang sebaliknya dilepas bebas di dalam kebun berhampiran.

"Disebabkan lembu banyak, saya syak mungkin harimau berkenaan sudah membunuh sebelum ini dan hanya dua ekor yang diketahui mati," katanya.

Dia berharap harimau kumbang itu dapat ditangkap segera bagi mengelakkan ketakutan kepada orang ramai.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata pihaknya sudah menjalankan siasatan sebaik dimaklum penduduk namun tidak menjumpai kesan tapak kaki harimau.

Katanya bangkai lembu juga dipercayai sudah dilupuskan pemilik sebelum kakitangan Perhilitan datang membuat siasatan.

"Bagaimanapun Perhilitan memasang satu perangkap di kawasan tersebut namun sehingga harimau belum masuk perangkap.

"Perhilitan memasang perangkap berhampiran sebuah reban ayam di Kampung Tengah yang dipercayai mampu menarik kehadiran pemangsa itu," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 10:46am
d