mutakhir

Pemalsuan cap sempadan: 7 bebas dengan jaminan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan tujuh anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan jaminan selepas tamat reman semalam.

Menurut sumber, semua individu berkenaan ditahan reman pada 16 November lalu dan tamat proses reman mereka semalam.

"Baki 31 anggota JIM masih lagi ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kes sindiket rasuah dalam urusan cap palsu di pintu masuk antarabangsa negara menerusi Ops Selat yang dijalankan.

"Semalam SPRM juga menahan dua lagi ejen bagi membantu siasatan berhubung kes sama," katanya ketika dihubungi.

Sehingga kini SPRM seramai 63 orang ditahan sepanjang Ops Selat dilancarkan termasuk 16 ejen pekerja asing, 38 pegawai imigresen dan 9 orang awam yang bertindak sebagai keldai akaun.

SPRM juga setakat ini sudah merampas lebih RM800,000 wang tunai, 26 kereta mewah dan 4 motosikal berkuasa tinggi telah dirampas. Nilai ini tidak termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya.

Melalui laporan Harian Metro bermula Rabu lalu, kakitangan JIM itu disogok susulan banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing atau migran untuk pulang ke negara asal mereka.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 11:31am
d