mutakhir

Putus modal, ibu 7 anak buntu [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: "Sudah dua minggu saya tidak keluar menjaja kerepek kerana tiada modal dan keadaan semakin terdesak kerana suami pun jarang dapat bekerja memandangkan kini musim tengkujuh," kata Siti Hulwani Mohamad.

Siti Hulwani, 46, yang menjual kerepek di kaki lima premis sekitar Kota Bharu kini terpaksa 'bercuti' kerana tiada wang untuk pusingan modal dan membayar tambang kereta sewa untuk ke lokasi menjaja.

Hidupnya dan tujuh anak termasuk seorang anak angkat kini bergantung sepenuhnya kepada suami, Azmi Bilal, 43, yang mengambil upah mengangkat kerusi dan meja di medan selera di Dataran MARA di sini.

"Upah yang diterima suami hanyalah RM20 sehari namun kerja itu bukan setiap hari ada kerana suami juga menghidap penyakit tibi.

"Buat masa kini kami cuba berjimat sebaik mungkin kerana selain untuk kelangsungan hidup, sewa rumah juga perlu dibayar sebanyak RM300 sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Tengku Putri, di sini, semalam.

Siti Hulwani berkata, adakalanya mereka sekeluarga menerima sedekah lauk pauk daripada pemilik kedai makan tidak jauh daripada rumah mereka yang bersimpati terhadap nasib mereka.

Terdahulu mereka menerima kunjungan daripada aktivis masyarakat, Amal Hayati Mohd Yusof bersama badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dan pemilik Restoran Nasi Lemak Kopi O, Meor Nazir Meor Ahmad, yang menghulurkan sumbangan dalam bentuk bungkusan nasi lemak, minuman dan bantuan kewangan.

Amal Hayati berkata, sebanyak 50 bungkus nasi lemak diagihkan kepada asnaf termasuk pengayuh beca serta gelandangan di sekitar bandar ini dan bantuan itu adalah bagi meringankan beban penerima sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan musim tengkujuh yang menyebabkan ramai tidak dapat keluar bekerja.

"Bantuan yang dihulurkan ini adalah secara berkala dan ia bermula sejak di awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi sehingga kini menggunakan dana yang saya peroleh hasil sumbangan penyumbang yang mengetahui kerja amal saya ini melalui laman sosial," katanya.

Seorang gelandangan yang ingin dikenali sebagai Rahim, 72, meluahkan rasa terima kasih atas sumbangan yang diberikan kerana dia 'berumah' di atas wakaf berhampiran Pasar Siti Khadijah di sini, setiap hari menerima sedekah makanan daripada orang ramai.

Rahim berkata, sejak dua tahun tinggal di wakaf itu kerana enggan menumpang tujuh anaknya atas alasan tidak mahu membebankan mereka yang semuanya sudah memiliki keluarga sendiri.

"Di wakaf inilah saya menjalani hidup seharian dan jika ingin membersihkan diri atau solat, saya akan ke surau di belakang dan kembali ke sini (wakaf) untuk berehat," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 11:42am
d