mutakhir

CEO anak syarikat kerajaan Perak direman [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat kerajaan negeri Perak direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan dokumen palsu.

Perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga esok dikeluarkan Majistret Umzarul An Nur Umar di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Terdahulu, suspek yang diiringi oleh pegawai SPRM tiba di mahkamah dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan bergari kira-kira 10.30 pagi.

Menurut sumber, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak pada 3.45 petang semalam.

Katanya, suspek tampil bagi membantu siasatan kerana dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu surat tawaran pelantikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak untuk diluluskan.

"Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 12:22pm
d