mutakhir

Air mula naik di Kampung Bantal, Ulu Tembeling [METROTV]

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Hujan berterusan sejak pagi semalam menyebabkan paras air Sungai Tembeling terutama berhampiran Ulu Tembeling kini melepasi paras berjaga-jaga.

Antara kawasan yang mula dinaiki air ialah Kampung Bantal yang terletak di laluan utama Sungai Tembeling .

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kampung Bantal, Hamdan Ali berkata, paras air Sungai Tembeling mula melimpah dan memasuki kawasan perkampungan terutamanya di tebing sungai, kira-kira 5 petang semalam.

"Sebanyak lapan kedai makan yang terletak berdekatan Sungai Tembeling dinaiki air setinggi satu meter.

"Sehingga pagi ini, paras air Sungai Tembeling masih bertahan dan tidak menunjukkan sebarang perubahan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, kejadian banjir membabitkan lapan kedai di kawasan tebing sungai terbabit adalah perkara biasa setiap kali hujan lebat.

Katanya, jika hujan masih berterusan maka lebih 500 penduduk di Kampung Bantal terutama di tebing sungai diminta supaya bersedia untuk berpindah.

"Penduduk sudah dinasihatkan sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan keadaan cuaca dan paras air serta berpindah jika diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 12:27pm
d