mutakhir

135 mangsa banjir kilat pindah

Oleh Erika George

Bintulu: Seramai 135 mangsa membabitkan 45 keluarga di Kampung Pisang dan penempatan setinggan berdekatan terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air akibat banjir kilat malam tadi.

Mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Stadium Muhibbah di Jalan Tanjung Kidurong.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, kesemua keluarga terjejas yang tinggal di Kampung Pisang dan dua penempatan setinggan Sungai Sebatang dan Sungai Plan dipindahkan bermula jam 9.57 malam.

Menurutnya, ketiga-tiga kawasan terbabit dilanda banjir kilat selepas hujan lebat sejak jam 8 malam.

"Penduduk mendakwa air naik dengan cepat di dalam rumah mereka sehingga mencecah satu meter.

"Kawasan lain yang turut dilanda banjir kilat ialah Taman Jason, Gems Park, Kampung Rajawali, Jalan Sepait Taman Sri Pelabuhan serta beberapa buah kawasan rendah," katanya.

Katanya, turut berlaku runtuhan tebing di Jalan Sebauh-Bintulu menyebabkan ia tidak selamat untuk dilalui dan kerja membersihkan runtuhan sedang dijalankan.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 1:12pm
d