mutakhir

Salah guna gambar Muhammad Hafiy Affan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Ada individu dikesan tergamak menggunakan gambar Muhammad Hafiy Affan Mohd Hasiif yang mengidap sindrom Pfeiffer bagi meraih simpati dan mengutip dana bagi kegunaan mereka sendiri.

Sindiket penipuan itu sanggup menyamar dan memuat naik gambar di Facebook (FB) serta meletakkan nama dan nombor akaun kononnya milik bapa bayi berusia sembilan bulan itu.

Kesal dengan perbuatan itu, bapa bayi itu, Mohd Hasiif Mohd Hasbi, 27, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa pada malam tadi bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung perbuatan itu sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Mohd Hasiif berkata, hantaran yang dimuat naik di beberapa akaun FB milik beberapa individu mula tular sejak semalam yang menggunakan gambar anak tunggalnya, Muhammad Hafiy Affan dengan tujuan untuk meminta sumbangan.

"Dalam hantaran yang dimuat naik menerusi FB, individu yang tidak bertanggungjawab ini menyalahguna gambar anak saya untuk mengutip dana dengan menggunakan nama dan nombor akaun yang bukan milik saya.

"Dua minggu lalu, badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa pengamal media datang ke rumah membuat liputan mengenai penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh Muhammad Hafiy Affan dan ia tular di media sosial FB sehingga ramai yang datang melawat dan menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban.

"Walau bagaimanapun, lebih menyedihkan lagi apabila ada individu yang mengambil kesempatan atas penderitaan anak kami untuk meminta sumbangan dan saya berharap agar masyarakat tidak terpedaya dengan taktik yang digunakan oleh sindiket ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan, penyakit sindrom Pfeiffer yang dideritai Muhammad Hafiy Affan Mohd Hasiif yang juga dikategorikan orang kurang upaya (OKU) kelewatan pembangunan global (GDD) sejak lahir menyebabkan dia mengalami kecacatan pada muka dan bentuk tengkorak sehingga bebola matanya sedikit terkeluar berbanding bayi normal dan juga tiada lubang di kedua-dua belah telinganya.

Dalam pada itu, Mohd Hasiif berkata, dia berterima kasih kepada keprihatinan dan sikap bermurah hati rakyat di negara ini yang menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan kos penjagaan dan rawatan anak tunggalnya itu.

"Sejak kisah Hafiy disiarkan, ramai yang datang termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dari luar Kelantan yang menziarahi anak syurga kami dan menghulurkan sumbangan yang sekaligus dapat digunakan untuk keperluan serta rawatannya.

"Saya dan isteri, Nor Akma Aini Azmee, 24, ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang banyak membantu meringankan beban yang ditanggung dan hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas jasa mereka," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 1:21pm
d