mutakhir

BN mahu pertahan kerusi Parlimen Gerik

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Bagan Datuk: Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon bagi mempertahankan kerusi Parlimen Gerik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan pada 16 Januari depan.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini pihaknya belum mempunyai calon untuk mengantikan Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia pada 16 November lalu akibat sakit jantung.

Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada calon tempatan dan pihaknya akan memilih calon terbaik bagi meneruskan kesinambungan khidmat bakti yang sudah dilakukan Hasbullah.

"Malam tadi juga kami mengadakan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Perak dan (umum sedia maklum) PRK Parlimen Gerik akan diadakan pada 16 Januari ini dan kami akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita belum sampai ke peringkat itu (memilih calon) dan menyerahkannya kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk berbincang dengan Umno Bahagian Gerik mengenai calon yang bersesuaian sebelum dikemukakan kepada saya selaku Pengerusi BN untuk kita muktamadkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program ziarah kasih di Kampung Rungkup Kecil, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya juga berharap Bersatu dan PAS memberi laluan kepada Umno pada PRK kali ini supaya dapat mengekalkan kerusi berkenaan.

"Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), calon BN, Bersatu dan Pas bertanding, saya berharap atas nama Muafakat Nasional dan dokongan kita kepada Kerajaan Perikatan Nasional, kedua-dua parti itu tidak akan menyaingi calon Umno yang akan mewakili BN.

"Jika ada calon bebas atau calon parti lain yang berhasrat untuk bertanding, saya harap dalam keadaan begini dengan SOP yang ketat maka paling molek tiada calon yang menawarkan diri.

"Beri peluang terus kepada calon BN yang akan memberikan kesinambungan khidmat bakti Allahyarham Hasbullah," katanya.

Mengenai pengisytiharan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan PRK bagi kerusi itu susulan wabak Covid-19, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak menjangkakan Gerik akan menjadi zon merah seperti Batu Sapi dan Bugaya.

Katanya, penduduk dan pengundi Parlimen Gerik perlu menjaga dan mematuhi semua SOP supaya kawasan itu tetap berada di bawah zon hijau.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, bagi PRK DUN Bugaya, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Umno Sabah untuk memilih calon yang akan mewakili parti itu.

"Kita memberikan kuasa autonomi terutamanya untuk pemilihan calon kepada Umno Sabah dan Isnin nanti saya akan bertemu ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk berbincang," katanya.

Semalam media melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah diadakan secara serentak, pada 16 Januari 2021.

Kedua-dua kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Hasbullah (BN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 2:51pm
d