mutakhir

Norihan terharu terima watikah, surat penghargaan [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan a/l Tari, 39, yang parah dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis pada Selasa lalu menerima watikah dan surat penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Penyerahan dilakukan juruiring baginda, Datuk Yahaya Othman.

Yahaya berkata, melalui riak wajah Norihan menunjukkan bahawa dia teruja dan terharu dengan perhatian yang diberikan baginda terhadap dirinya.

"Tuanku mengarahkan saya untuk menziarahi Sarjan Norihan dan menyampaikan titah Baginda ke atas keprihatinan anggota PGA berkenaan dalam mempertahankan benteng pertahanan negara.

"Melalui riak wajah Sarjan (Norihan) menunjukkan reaksi bahawa dia amat teruja dan terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan Tuanku.

"Tuanku dan Permaisuri turut mendoakan supaya sarjan cepat sembuh dan memperoleh kesihatan yang baik supaya dapat terus berkhidmat untuk negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Norihan bersama Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, hari ini.

Sementara itu, Sahabudin berkata, keadaan kesihatan Norihan menunjukkan perkembangan amat baik dan positif apabila dia sudah mampu berkomunikasi.

"Jika semalam, apabila bercakap dia hanya memberi respon dengan mengangguk kepala, tetapi syukur hari ini dia sudah boleh bercakap selain mengucapkan terima kasih kepada semua yang melawatnya.

"Mengikut apa yang dimaklumkan doktor, semangatnya amat kuat dan dia juga mengingati apa yang berlaku terhadap dirinya, serta rakan sejawatnya" katanya.

Katanya, doktor turut memberitahu masih terdapat sebutir peluru yang belum dikeluarkan pada paru-parunya dan sedang membuat pemerhatian sebelum menjalankan pembedahan susulan.

Dalam kejadian 3.10 pagi Selasa lalu, Norihan dan mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin maut di tempat kejadian selepas ditembak pada bahagian kiri perut.

Norihan pula parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan tempat mereka bertugas.

Baharuddin dan Norihan, dari Unit Senoi Praaq PGA Briged Utara berpengkalan di Bidor, Perak yang terbabit dalam pengumpulan maklumat, terserempak dengan kira-kira 13 penyeludup sebelum berlaku insiden berbalas tembakan itu.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 3:20pm
d