mutakhir

Rumah sendiri dinaiki air, anggota RELA tetap bertugas

Oleh BERNAMA

Chukai: Di sebalik ketekunan Erawati Jaafar melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan keselamatan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), namun hatinya diselubungi kerisauan kerana rumahnya sendiri turut ditenggelami air.

Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berusia 36 tahun itu berkata, hujan lebat yang melanda sejak lewat malam Khamis menyebabkan rumahnya di Kampung Teladas, Air Putih di sini, dinaiki air hingga ke paras bumbung.

"Malam Khamis saya berada di sini (PPS Dewan Sivik Kampung Air Putih) untuk melakukan persiapan dan menunggu kedatangan mangsa banjir, sebelum seorang rakan memberitahu bahawa rumah saya juga sedang dinaiki air.

"Pada waktu itu hanya anak sulung saya (Ahmad Razin Riffat, 12) ada di rumah kerana suami (Roslan Hassan, 48) turut bertugas sebagai anggota RELA.

"Dua lagi anak yang berusia sembilan dan enam tahun berada di rumah datuk mereka di Kampung Air Putih," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Sivik Kampung Air Putih di sini, hari ini.

Katanya, dia bersama anak sulungnya itu berjalan kaki mengharungi air pada paras lutut pada 4 pagi untuk sampai ke motosikalnya yang diletakkan di rumah jiran, sebelum ke PPS Dewan Sivik Kampung Air Putih.

Namun, Erawati yang berkhidmat sebagai anggota RELA sejak 2009 berasa terkilan kerana bukan sahaja tidak sempat menyelamatkan barang-barang, malah tiga pasang pakaian seragam RELA miliknya juga ditenggelami air.

"Ini yang terburuk selepas banjir pada 2014. Biasanya air hanya naik paras lutut tetapi kali ini rumah saya hanya nampak bumbung sahaja.

"Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting. Barangan lain yang diletakkan di atas para habis tenggelam.

"Baju kerja (RELA) tinggal yang saya pakai ini sahaja lah. Memang sehelai sepinggang kami sekeluarga. Mungkin esok saya pinjam uniform kerja kawan," katanya sambil menahan air mata kerana berasa sayu dengan situasi yang dihadapi kini.

Dia juga berasa sedih mengenangkan bantuan makanan yang diberikan beberapa pihak sebelum ini seperti beras dan gula untuk kegunaan musim tengkujuh, turut ditenggelami air.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 5:06pm
d