mutakhir

'Tak sangka terima pelbagai sumbangan'

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Kisah seorang bapa yang sanggup menjual rumah demi anak sakit menarik perhatian ahli Kelab King MG Harley Davidson berkonvoi menziarahi dan menyerahkan sumbangan kepada keluarga itu di Taman Lukut Makmur, di sini, hari ini.

Majlis penyerahan sumbangan dilakukan Naib Presiden Kelab King MG, Khairul Anuar Juri kepada Mohd Shamsul Bahari Ab Jalal, 48, bagi meringankan kos perubatan anaknya, Muhammad Syahmi Mohd Shamsul Bahari, 19, yang menghidap buah pinggang rosak.

Portal berita Harian Metro Sabtu lalu melaporkan, Mohd Shamsul Bahari mahu menjual rumahnya kerana tidak mampu menyediakan wang RM12,000 untuk pembedahan membuat saluran 'dialisis' di tangan kiri anaknya, Muhammad Syahmi Mohd Shamsul Bahari, 19.

Menurut Khairul Anuar, kelabnya yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu dan mempunyai 150 ahli dari Malaysia serta Singapura tersentuh dengan kisah berkenaan.

"Kami kerap berkonvoi dan memberikan sumbangan kepada individu memerlukan seperti Muhammad Syahmi yang memerlukan perbelanjaan untuk kos pembedahan menukar saluran dialisis akibat penyakit buah pinggang rosak.

"Kami terharu kerana bapanya sanggup menjual rumah bagi mencari dana untuk pembedahan anaknya dan hari ini kami berkonvoi dari Kuala Lumpur khusus untuk menyerahkan sendiri sumbangan ahli kelab ini," katanya.

Beliau berkata, ahli Kelab King MG terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan dari syarikat swasta di Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, Mohd Shamsul berkata, dia terharu apabila ahli kelab motosikal besar itu sanggup datang dari jauh untuk menyerahkan sumbangan kepada mereka.

"Sebenarnya saya tak sangka mendapat sumbangan pelbagai pihak selepas kisah nak jual rumah bagi mencari dana untuk anak disiarkan di Harian Metro minggu lalu.

"Jika tiada halangan, minggu depan (Khamis) Muhammad Syahmi akan menjalani pembedahan di Hospital Melaka," katanya.

Katanya, Selasa lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri turut datang dan menyerahkan sumbangan.

"Bagi saya peranan media bukan setakat melaporkan berita, tetapi banyak membantu terutama seperti kes anak saya yang memerlukan perbelanjaan untuk pembedahan.

"Ini satu kejutan bagi saya apabila mula dihubungi banyak pihak dan ramai bersimpati kerana saya memang nak jual rumah sebab tak mahu menyusahkan orang lain," katanya.

Berita berkaitan

'Sanggup jual rumah demi anak sakit'

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 5:27pm
d