mutakhir

Rugi RM15,000 akibat banjir terbesar dalam 30 tahun

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: "Kejadian banjir 4 November lalu pasti sukar dilupakan penduduk kampung ini kerana ia dianggap terbesar dalam tempoh 30 tahun," kata Kalsom Omar.

Pesara kerajaan itu antara 70 keluarga di Kampung Kuala Sawah, Rantau, dekat sini, yang menerima kesan akibat banjir terbesar dalam tempoh 30 tahun, pada 4 November lalu.

Kalsom, 62, berkata dia kerugian RM15,000 selepas pelbagai barangan rosak seperti peralatan elektrik, almari pakaian, kenderaan dan beberapa barangan lain.

Menurutnya, air banjir masuk ke dalam rumahnya pada ketinggian 1.5 meter menyebabkan dia dan ahli keluarga cemas kerana kejadian berlaku pada awal pagi.

"Limpahan air banjir dari sungai berhampiran naik begitu cepat hingga tidak sempat menyelamatkan pelbagai barangan elektrik serta pakaian.

"Sebanyak lapan almari saya hancur, selain itu kereta di laman rumah tenggelam. Fokus ketika itu hanya untuk menyelamatkan nyawa.

"Walaupun kerugian harta benda, tetapi kejadian tidak membabitkan kehilangan nyawa," katanya.

Mangsa lain, Rabaeyah Hasim, 60, berkata air banjir mula naik ke halaman rumahnya pada 2 pagi.

Menurutnya, dia bersama lapan ahli keluarga terkejut kerana air naik dengan cepat sehingga tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.

Katanya, ketika kejadian terdapat lapan orang ahli keluarga di dalam rumah dan fokus mereka ketika itu adalah memastikan ibunya yang berusia 85 tahun selamat.

"Namun, beberapa peralatan rumah seperti peti ais rosak manakala lantai bahagian dapur pecah.

"Mujurlah rumah bahagian depan tinggi sedikit dan beberapa barangan penting dapat diselamatkan dengan nilai kerugian dianggarkan RM7,000.

Mereka ditemui selepas menerima bantuan barangan keperluan harian bernilai RM100 dan wang tunai dengan kos keseluruhan RM22,000 daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), di sini, hari ini.

Bantuan disampaikan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah. Hadir sama, Pengerusi Angkasa Negeri Sembilan, Datuk Ibrahim Abdullah dan Pengerusi Koperasi Keluarga Haji Sulaiman Berhad, Datuk Hanafi Sulaiman.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 6:09pm
d