mutakhir

Usir 5 kapal dagang

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: Lima kapal dagang yang didaftarkan dari pelbagai negara diusir dari perairan Tompok Utara, Johor, menerusi Op Jaksa, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal dagang dari Dominica, Indonesia, Palau, Panama dan Liberia antara yang diusir dalam operasi antara 9 pagi sehingga 12.30 tengah hari itu.

Katanya, sebuah kapal ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditugaskan untuk mengusir kapal dagang yang disahkan oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) tidak mempunyai kebenaran bersauh oleh Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Perairan Tompok Utara menjadi kawasan tumpuan bagi kapal dagang untuk bersauh sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal Mac lalu berikutan kebanyakan negara mengambil langkah sekatan pergerakan keluar masuk di pelabuhan utama.

"Keadaan ini menyebabkan kapal-kapal dagang mengambil kesempatan untuk bersauh di sekitar perairan Malaysia tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, sepanjang bulan ini, APMM sudah mengusir 23 kapal dagang di perairan Tompok Utara, selain menahan 17 kapal dagang di perairan Johor Timur sepanjang tahun ini.

"Diingatkan bahawa perairan Permatang Timur (Eastern Bank), Beting Ramunia (Ramunia Shoal) dan Tompok Utara (North Patch) masih berada dalam Zon Maritim Malaysia dan bukannya perairan antarabangsa walaupun jaraknya melebihi 12 batu nautika dari daratan terdekat.

"Sehubungan itu, sebarang aktiviti di perairan terbabit perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa Malaysia bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil," katanya.

Sebarang aduan jenayah maritim di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di (07 - 219 9404).

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 10:07am
d