mutakhir

Bina sendiri pusat pemindahan sementara [METROTV]

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: "Kami mengambil inisiatif sendiri bina pusat pemindahan sementara (PPS) dengan mendirikan bangsal ditempat selamat atas bukit," kata penduduk Orang Asli Batik, Abdul Razak Salleh, 50.

Dia antara 90 keluarga kaum itu di Kampung Pasir Linggi, dekat sini, yang membuat persiapan bina bangsal di atas bukit bagi menghadapi banjir.

Katanya, dia mula membina bangsal itu tidak jauh dari kampung sejak empat hari selepas kampungnya terperangkap banjir.

Bagaimanapun, dia berkata, ahli keluarga kaum itu belum lagi berpindah ke bangsal PPS terbabit kerana belum siap sepenuhnya.

"Tengoklah apabila hujan lebat dan air Sungai Lebir naik mendedak melipahi ke kawasan rumah, kita cepat-cepat pindah ke bangsal dibina itu.

"Kita setiap musim tengkujuh akhir tahun membina bangsal di tempat selamat atas bukit kerana bimbang berlaku banjir luar biasa,"katanya ketika ditemui, di Kampung Pasir Linggi, dekat sini, hari ini.

Menurut Abdul Razak, dia turut membantu penduduk lain menyiapkan bangsal yang diperbuat daripada kayu hutan dan buluh.

Tambah dia, kali pertama kampung itu terperangkap banjir seminggu lalu juga memberi peringatan kepada penduduk bersiap sedia untuk berpindah.

Sementara itu, Penghulu Orang Asli Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, hampir 500 penduduk kampung itu bersiap pindah ke bangsal disediakan sebaik air sungai naik.

Katanya, penduduk bergotong-royong membina 50 bangsal yang boleh menampung antara dua hingga empat keluarga setiap satu bangsal.

Dia mengakui penduduk kaum itu sebelum ini kerap berdepan detik cemas dan redah banjir kerana air Sungai Lebir naik dengan cepat apabila hujan lebat.

"Kampung ini tidak mempunyai PPS yang selamat bagi perpindahah jika berlaku banjir kerana Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi, juga berada di kawasan rendah.

"Sebab itu, penduduk terpaksa bina sendiri bangsal sebagai PPS supaya perpindahan itu boleh dilakukan segera tanpa menunggu arahan,"katanya.

Dia juga lebih mengharapkan pihak berkenaan menghantar bekalan makanan lebih awal ke penempatan kaum itu supaya tidak terhalang dengan banjir nanti.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 11:10am
d