mutakhir

PPS dibuka di Rantau Panjang

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, Rantau Panjang, hari ini, selepas penempatan terbabit mula dinaiki air sejak semalam.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, Said Sidup berkata, dua keluarga membabitkan 10 mangsa dipindahkan kerana kediaman mereka mulai dinaiki air.

Katanya, ia menjadikan SK Gual To'Deh satu-satunya PPS yang dibuka setakat ini, namun begitu, terdapat dua PPS yang beroperasi untuk tempoh satu malam pada Selasa dan Rabu lalu di Kuala Krai, sebelum kesemua mangsa pulang ke rumah sebaik banjir surut.

"Pihak JKM bersiap sedia membuka PPS jika banjir melanda malah sudah membuat persiapan awal selain sentiasa peka dengan maklumat semasa paras air melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana di setiap jajahan negeri itu.

"Di Kelantan, terdapat 539 PPS yang sedia dibuka bagi menghadapi Monsun Timur Laut dan kami pastikan setiap lokasi terbabit dijaga rapi untuk keselesaan mangsa banjir.

"Selain itu, kita turut dibantu oleh hampir 200 sukarelawan JKM termasuk agensi pengurusan bencana jajahan dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan melakukan persediaan lebih terperinci mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan pendemik Covid-19," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 10 pagi, hari ini, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, melepasi tahap bahaya dengan bacaan 9.39 meter.

Said berkata, JKM juga sudah mengenal pasti pembekal makanan di setiap jajahan yang boleh membantu menyedia serta membungkus makanan kepada mangsa banjir.

"Kakitangan dan sukarelawan JKM juga turut menghadiri latihan simulasi pengurusan bencana Covid-19 yang disediakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melancarkan lagi urusan menghadapi banjir nanti.

"Pihak kami turut menjalinkan kerjasama baik dengan agensi keselamatan lain sepertI dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkata Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengetahui informasi semasa banjir.

"Memandangkan kita juga menghadapi situasi sukar dengan wabak Covid-19 saya sentiasa menasihatkan setiap kakitangan dan sukarelan JKM agar mematuhi SOP supaya tidak berlaku penularan wabak," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 11:58am
d