mutakhir

18 sungai di Johor hanya sesuai untuk pengairan

Oleh Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Sebanyak 18 sungai di Johor dikategorikan Kelas 4 iaitu hanya sesuai untuk pengairan manakala 47 lagi dalam Kelas 3 yang memerlukan rawatan intensif.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, 59 sungai di negeri ini berada dalam Kelas 2 iaitu air sungai memerlukan rawatan konvensional.

Katanya, Johor mempunyai 399 jumlah sungai namun tidak semuanya dipantau dan diawasi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor secara terperinci.

"Pengawasan kualiti air sungai yang dilaksanakan oleh JAS Johor membabitkan 23 lembangan sungai yang merangkumi 126 sungai.

"Pengawasan kualiti air sungai adalah lebih kepada fungsi dan justifikasi tertentu untuk memantau impak industri kepada ambient sungai serta aliran sungai yang memasuki loji rawatan air mentah," katanya.

Vidyanantan menjawab soalan tambahan Datuk Syed Sis Abdul Rahman (UMNO-Tanjong Surat) yang bertanyakan jumlah sungai tercemar di negeri ini pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di sini hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata, Johor merekodkan 140 aduan berkaitan pencemaran sungai di negeri ini antara Januari hingga bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, semua aduan berkenaan sudah disiasat dan diambil tindakan susulan.

"Tindakan perundangan menerusi Akta Kualiti Alam Sekelililing 1974 dan peraturan seperti kompaun, Notis Arahan, Perintah Penahanan Operasi dan tindakan mahkamah turut dikenakan terhadap premis yang didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Antara jenis pencemaran yang dikesan mencemari sungai di negeri ini adalah sampah sarap domestik/pepejal, aktiviti tapak pembinaan, aktiviti lombong/pengorekan pasir sungai, aktiviti ladang racun/pembajaan, aktiviti ladang penternakan ayam/babi, aktiviti industri/bengkel dan aktiviti pembandaran.

"Selain itu, pencemaran aktiviti kumbahan (loji kumbahan/perumahan/industri, aktiviti menangkap ikan (cara menuba ikan), tumpahan minyak/bahan kimia dan air larut resapan (leachate) dari tapak pelupusan sampah turut menjadi faktor utama pencemaran sungai di Johor," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 1:24pm
d