mutakhir

Cendawan busut meliar di musim tengkujuh

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Cendawan busut atau lebih dikenali sebagai 'kulat pusu' hanya akan tumbuh pada musim tertentu terutamanya pada musim tengkujuh dan ia sememangnya menjadi kegemaran ramai kerana keenakannya selain sukar diperoleh.

Zahari Abdullah, 68, berkata bukan mudah untuk menjumpai kulat pusu yang hanya tumbuh di musim tengkujuh dan keadaan itu menyebabkan beratus-ratus kulat pusu tumbuh di belakang rumahnya.

Menurutnya, dia bersama isteri, Tuan Yah Tuan Yeh, 61 dan beberapa penduduk kampung berpakat mengutip kulat pusu berkenaan untuk diagihkan kepada jiran tetangga untuk sama-sama menikmati keenakan kulat pusu itu.

"Kebiasaannya kulat pusu akan tumbuh di kawasan yang mempunyai busut dan ia adalah pertama kali tumbuh di kawasan belakang rumah dengan jumlah yang banyak.

"Walaupun banyak saya tidak mahu menjual kulat pusu ini sebaliknya rezeki yang diperoleh perlu dikongsi bersama jiran. Jika ada yang menjualnya, ia mungkin dijual dengan harga RM1 sekuntum memandangkan ia sukar dijumpai," katanya ketika ditemui di Kampung Jambu Merah, Melor.

Katanya, kulat pusu adalah tumbuhan yang unik kerana ia akan tumbuh apabila berlaku hujan yang diikuti dengan kilat serta guruh selain ada yang mendakwa petanda akan tumbuh kulat pusu di sesuatu tempat apabila ada kelkatu berterbangan.

"Kulat pusu ini kebiasaannya tumbuh meliar di atas tanah yang terdapat anai-anai dan disebabkan itu ia dikenali kulat pusu (busut) yang dikaitkan tempat tinggal anai-anai. Kulat pusu tumbuh secara berkoloni di atas pusu anai-anai.

"Tumbuhan ini mungkin tumbuh sejak Jumaat lalu namun saya baru menjumpainya. Keadaan kulat masih elok dan boleh dimasak.

"Masyarakat Kelantan sangat menggemari kulat pusu sejak zaman dahulu dan dimasak menu 'sayur pedas' iaitu dengan mencampurkan daun cekur manis dan bawang merah, isi ikan dan lada hitam," katanya.

Sementara itu, Zainun Noh, 60, berkata, kulat pusu yang tumbuh semula jadi ini sememangnya sukar dijumpai dan ia berlainan dengan cendawan tiram atau butang yang mudah didapati di pasar, kedai atau pasar raya.

"Orang lama-lama kata, selalunya kulat pusu akan tumbuh selepas hujan dan hanya bertahan dalam tempoh lima hari sahaja dan selepas daripada tempoh itu, ia akan layu dan kelopaknya akan hancur dengan sendirinya.

"Mungkin generasi sekarang, terutama golongan remaja tidak tahu bahawa tumbuhan ini boleh dimakan dan lebih sedap berbanding cendawan biasa," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 1:50pm
d