mutakhir

Sentiasa pantau sangkar ikan di Sungai Pahang

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Penternak ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang perlu sentiasa memantau sangkar mereka berikutan paras air sungai meningkat disebabkan hujan berterusan.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, paras air Sungai Tembeling di Jerantut kini naik dan akan turun ke Sungai Pahang melalui daerah Temerloh, Maran, Bera dan Pekan.

Beliau berkata, arus deras turut membawa bersama balak dan bongkah kayu dan kerugian pasti berlaku sekiranya objek berkenaan tersangkut pada sangkar dan ikan terlepas.

"Justeru untuk memastikan balak dan bongkah kayu tidak melanggar sangkar, penternak perlu sentiasa memantau kawasan sangkar mereka siang dan malam.

"Penternak boleh melakukan secara individu selain berkumpulan, mereka perlu berkorban masa dan tenaga dalam memastikan sangkar mereka tidak musnah seterusnya menyebabkan kerugian besar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tindakan mengikat sangkar pada pokok dan tiang konkrit di tepi sungai dapat membantu mengelak sangkar ikan dihanyutkan arus deras air sungai yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Menurutnya. ikan yang mencapai saiz boleh dijual perlu segera dipasarkan kerana kelewatan akan menambahkan kos makanan selain risiko sangkar pecah serta hanyut pada musim tengkujuh ini.

"Saya mengarahkan pegawai perikanan daerah supaya sentiasa memantau perkembangan semasa projek ikan sangkar bagi memastikan mereka yang terbabit tidak berhadapan masalah hingga menyebabkan kerugian.

"Setiap tahun kerajaan menyediakan bantuan di bawah program rezeki tani yang menyediakan pelbagai bantuan seperti bot, enjin sangkut, peralatan menangkap ikan dan sangkar ikan," katanya.

Sementara itu, Mohammad Khairil Johari, 32, yang mengusahakan ikan sangkar di Kampung Tanjung Kubu, Kuala Krau, berkata paras air Sungai Pahang di Temerloh dilihat naik selepas hujan berterusan semalam.

"Saya dan penternak lain kini memantau kawasan sangkar bagi mengelak kejadian tidak diingini kerana arus air sungai yang deras membawa bersama balak dan bongkah kayu.

"Kami tidak sanggup menanggung kerugian selepas mengeluarkan modal besar mengusahakan projek ikan sangkar," katanya yang memiliki 24 sangkar di Sungai Pahang.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 2:23pm
d