mutakhir

Buntu hidap pelbagai penyakit

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: "Saya tidak pasti bagaimana nasib saya selepas dimaklumkan bayaran rumah sebanyak lebih RM3,600 tertunggak," kata bapa tunggal yang kini sakit dan tinggal seorang diri di sebuah rumah di Taman TKK, Port Dickson.

Musraini Mustapar, 43, menghidap sakit tulang belakang, darah tinggi dan kencing manis tidak mampu bekerja dan berjalan jauh selain hanya bergantung kepada tongkat untuk bergerak.

"Semua duit dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sudah habis dikeluarkan untuk membayar rumah dan sekarang saya bimbang kerana sudah tidak mampu lagi.

"Saya tidak pasti apa akan berlaku kerana saya tiada sumber pendapatan selepas tidak lagi mampu bekerja bagi menampung kehidupan," katanya ketika menerima kunjungan dan sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di rumahnya, semalam.

Kisahnya pernah mendapat perhatian banyak pihak selepas keluar di portal Harian Metro, 22 Oktober lalu, ketika terlantar sakit.

"Saya ada menerima bantuan berupa barangan makanan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan tetapi selepas itu tiada lagi bantuan lain menyebabkan keadaan semakin meruncing.

"Ada juga agensi kerajaan yang memberi borang untuk diisi dan dihantar melalui ketua kampung tetapi sehingga hari ini tiada tindak balas mengenai bantuan untuk saya menampung hidup," kata bapa kepada tiga anak itu.

Musraini berkata, dia juga merindui tiga anaknya yang kini tinggal bersama bekas isteri selepas bercerai tiga tahun lalu.

"Tiga anak saya berusia dari tujuh hingga 10 tahun dipercayai tinggal di Johor bersama ibu mereka. Saya tak dapat menziarahi mereka buat masa sekarang kerana nak berjalan jauh pun tak mampu.

"Harapan saya agar suatu hari nanti kesihatan saya kembali pulih, mampu bekerja bagi mencari nafkah untuk anak-anak kerana saya tahu tanggungjawab saya tidak terputus walaupun sudah berpisah dengan ibu mereka.

"Cuma dalam keadaan sekarang, nasib saya sendiri tidak pasti, sakit dan dalam masa yang sama tiada pekerjaan serta masalah kewangan yang semakin teruk dan keluarga saya juga tidak berkemampuan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9 Norfadilah Mansor berkata, dari segi usia, Musraini masih muda tetapi keadaannya sekarang teruk kerana tiada ahli keluarga yang mampu menjaganya dalam situasi tanpa pendapatan dan sakit terlantar.

"Kami hanya memberi sedikit bantuan kewangan bagi pembelanjaan seharian dan dalam pemerhatian pihak kami, dia perlu mendapat bantuan bulanan dari pihak berwajib tanpa mengambil kira faktor usia kerana dia memang tidak mampu," katanya.

Gambar

1-2. Bapa tunggal, Musraini Mustapar, 43, (kiri) ketika menerima sumbangan daripada Pengerusi PERKASIH N9 Norfadilah Mansor yang berkunjung ke rumahnya di Taman TKK, Port Dickson.

3. Bapa tunggal, Musraini Mustapar, 43, kini hidup seorang diri dalam keadaan menghidap pelbagai jenis penyakit ketika ditemui di rumahnya di Taman TKK, Port Dickson.

-tamat

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 2:32pm
d