mutakhir

Operasi saringan Covid-19 Hospital Kulim beroperasi seperti biasa

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Khemah untuk ujian saringan Covid-19 serta kecemasan di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kulim sudah beroperasi seperti biasa sejak malam tadi selepas dilanda banjir kilat petang semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata, air yang melimpah hingga ke dalam khemah itu sudah surut selepas setengah jam kejadian itu dan tidak menjejaskan sebarang peralatan di situ.

"Tiada kerosakan peralatan atau infrastuktur khemah terbabit, saringan kecemasan untuk pesakit serta ujian Covid-19 boleh dijalankan di khemah berkenaan.

"Tiada keperluan untuk menghantar pesakit ke hospital lain kerana operasi di Hospital Kulim tidak terjejas kerana kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Mohd Fikri berkata, pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan dengan agensi teknikal yang berkaitan untuk mendapatkan cadangan yang perlu dilakukan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Dalam kejadian pada 5 petang semalam, beberapa khemah di kawasan itu dimasuki air akibat masalah perparitan di kawasan parkir berdekatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, peralatan bernilai tinggi di dalam khemah terbabit berjaya dialihkan ke tempat selamat hasil tindakan pantas pihak hospital.

Beliau turut memaklumkan Hospital Kulim sudah memohon untuk memperbesarkan longkang di kawasan parkir berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 3:34pm
    d