mutakhir

7 kontena susu tepung disita

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Tujuh kontena dari Ireland dan Belanda yang berisi susu tepung bernilai hampir RM2 juta disita Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang di sini, kelmarin.

Dalam pemeriksaan pada 5.45 petang, pegawai penguat kuasa MAQIS melihat terdapat tujuh kontena yang baharu masuk di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Pengarah MAQIS Pulau Pinang Zarina Ramli berkata, pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui 7,660 peket susu tepung seberat 191,500 kilogram (kg).

"Semua susu tepung itu dibawa masuk dari dua negara iaitu Ireland dan Belanda tetapi gagal ditunjukkan permit import yang sah dan kami terpaksa merampasnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tidak mematuhi piawaian yang dikehendaki pada permit import MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya.

Menurutnya, MAQIS mengambil langkah serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Katanya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 3:46pm
d