mutakhir

YADIM bantu pemandu teksi, e-hailing

Oleh Hazri A Bakar

Johor Bahru: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor meneruskan usaha membantu golongan terkesan dengan pandemik Covid-19 dengan mengagihkan barangan keperluan harian kepada pemandu teksi dan e-hailing di sekitar bandar raya ini, hari ini.

Pengarahnya, Muhamad Ammar Abdullah berkata, seramai 200 penyedia khidmat pengangkutan itu dibantu melalui sumbangan barangan kegunaan harian seperti beras, gula pasir, tepung, garam, sardin dan susu.

Beliau berkata, program adalah di bawah inisiatif Musaadah dianjurkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Program dilaksanakan di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn menggunakan konsep pandu lalu sebagai mematuhi garis panduan penjarakan fizikal.

"Bantuan ini dibuat kerana kita sedar penyedia perkhidmatan pengangkutan amat terkesan dengan pandemik ini berikutan kekurangan permintaan penumpang ketika ini," katanya.

Menurutnya, program itu akan diperluaskan ke daerah lain di negeri ini dengan memberi tumpuan kumpulan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dari semasa ke semasa.

Katanya, semua penyedia khidmat pengangkutan itu dikenal pasti melalui kerjasama dengan persatuan teksi dan wakil penyedia khidmat e-hailing.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 3:59pm
d