mutakhir

Lumpur tebal sukarkan penduduk bersih rumah

Oleh Zaid Salim

Chukai: Lebih 400 penduduk Kampung Teladas, di sini, sedih apabila kampung mereka ditenggelami air menyebabkan hampir keseluruhan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), Jumaat lalu.

Selepas tiga hari meninggalkan rumah, mereka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas keadaan air mulai surut berikutan cuaca baik bermula tengah malam tadi.

Bagaimanapun, kegembiraan mereka bertukar hiba apabila terpaksa meredah lumpur berikutan seluruh kampung dibanjiri banjir lumpur.

Lebih memilukan apabila kebanyakan barangan berharga di dalam rumah mereka seperti televisyen, perabot, mesin basuh serta bantal dan tilam rosak akibat ditenggelami lumpur.

Penduduk mendakwa air naik secara mengejut menyebabkan mereka hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan beberapa helai pakaian sahaja ketika meninggalkan rumah.

Penduduk, Mohd Asman Kasman, 50, berkata semua barangan dalam rumah seperti mesin basuh, peti sejuk dan perabot rosak ditenggelami lumpur.

Katanya, sebagai persediaan dia memindahkan barang berkenaan di tempat tinggi sebelum air naik, namun tidak menyangka banjir tahun ini hampir mengulangi bencana pada 2013.

"Saya dan isteri, Dalizah Abdullah, 46, serta dua anak, Ahmad Adam Daneil, 12, dan Nurdiya Kalisya Athirah, 7, gembira apabila dibenarkan pulang, namun sedih melihat sebahagian barangan berkenaan diselaputi lumpur tebal.

"Seskipun sedih dengan kejadian itu, namun kami reda kerana bencana itu adalah ujian Ilahi. Kami berharap kejadian sama tidak berulang lagi," katanya ketika ditemui sedang membersih barangan dan peralatan rumah di kampung berkenaan.

Peniaga kedai runcit dan barang basah, Junaidi Manaf, 39, berkata, akibat bencana itu dia mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila tiga peti sejuk digunakan untuk menyimpan barangan jualan dan kegunaan keluarga musnah ditenggelami lumpur.

Malah, katanya, selain barangan elektrik, dia kehilangan barang runcit termasuk 20 kampit beras untuk dijual apabila barangan itu dihanyut arus banjir.

"Ketika air naik Jumaat lalu, saya bergegas membawa ibu, Fatimah Abdullah ke PPS memandangkan ibu tidak dapat berjalan dan barang lain termasuk pakaian tidak sempat dikemas sebab air naik dengan cepat.

"Air Sungai Teladas yang membawa lumpur dan arus deras memasuki kediaman dalam tempoh tidak sampai satu jam.

"Ketika banjir besar 2013 dan 2014, saya sempat mengemas barang kerana air naik secara perlahan, namun kali ini air sangat laju dan naik secara mendadak," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 4:41pm
d