mutakhir

Sambung PKPD Kampung Numbak, Penempatan Telipok

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok, Kota Kinabalu, Sabah dilanjutkan dua minggu lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sepatutnya PKPD di dua lokaliti itu berakhir hari ini selepas bermula 16 November lalu.

Namun, katanya,sehingga 27 November lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan masih terdapat 109 kes aktif di Kampung Numbak manakala 136 kes aktif di Penempatan Telipok.

"Selain jumlah kes aktif yang masih tinggi, terdapat ramai lagi penduduk di kedua-dua lokaliti ini yang perlu menjalani ujian saringan.

"Berdasarkan penilaian risiko dan nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok, Kota Kinabalu, Sabah selama 14 hari lagi bermula 30 November 2020 sehingga 13 Disember 2020," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Sementara itu, katanya, Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 5,1450 pemeriksaan semalam ketika memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

"Sebanyak 2,437 Pasukan Pematuhan membabitkan 11,746 anggota membuat pemantauan di 3,281 pasar raya, 4,316 restoran serta 1,302 penjaja, 1,097 kilang, 3,047 bank dan 410 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 878 terminal pengangkutan darat, 228 terminal pengangkutan air serta 84 terminal pengangkutan udara," katanya.

Menurutnya, PDRM menahan 648 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP, semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, 594 individu dikompaun manakala 54 individu pula direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (331), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (102), tidak memakai pelitup muka (65), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (64), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60) dan lain-lain (26).

"Laporan kawalan sempadan negara menerusi Operasi Benteng pula berjaya menahan 99 pendatang asing tanpa izin (Pati), dua penyeludup serta merampas dua kenderaan darat," katanya.

Selain itu, katanya, 280 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan, semalam dengan 212 SJR menerusi Op Penawar (Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Rela), Op Benteng PDRM (59 SJR) dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) (sembilan SJR).

"Operasi bersepadu PDRM, ATM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Aksem mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi Pati, mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 5:56pm
d