mutakhir

Tambahbaik komunikasi penyampaian maklumat Covid-19

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menambah baik strategi komunikasi daripada segi penyampaian berita dan maklumat berkaitan Covid-19 dalam pelbagai bahasa di negara ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penambah baikan itu membabitkan penyampaian dalam pelbagai bahasa terutama Mandarin dan Tamil.

Beliau berkata, setakat ini, ia sudah dilaksanakan dalam semua bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Iban dan Kadazan.

"Bagaimanapun, kita mendapat maklumat ada sedikit jurang daripada segi penyampaian maklumat atau mesej berkaitan Covid-19 dalam Bahasa Mandarin dan Tamil berbanding Bahasa Melayu yang tidak berdepan masalah.

"Sebab itu kita perlu menggandakan usaha untuk mempertingkatkan penyampaian maklumat mengenai Covid-19 terutama dalam Bahasa Mandarin dan Tamil.

"Begitu juga mesej disampaikan dalam bahasa Iban dan Kadazan serta pekerja asing termasuk dalam kalangan pendatang tanpa izin (Pati) akan dipertingkatkan," katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kebajikan kepada Komuniti Cina Indera Mahkota di Kompleks Dagangan Mahkota, di sini, hari ini.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 6:31pm
d