mutakhir

Buat cemas je...

Oleh BERNAMA

Georgetown: Pasangan suami isteri berdepan detik cemas apabila anak lelaki mereka yang berusia 16 bulan terperangkap dalam kereta dengan enjin dihidupkan di Tingkat Paya Terubong 4, Taman Terubong Indah, Air Itam di sini, hari ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Noor Zahidi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 12.30 tengah hari.

"Pihak kami dimaklumkan seorang kanak-kanak lelaki terperangkap di dalam kereta dalam keadaan enjin dihidupkan selama hampir setengah jam di kawasan letak kenderaan perumahan itu.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dikejarkan ke lokasi kejadian dengan membawa peralatan khas," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, selepas tiba di lokasi, mereka berbincang mengenai langkah yang akan diambil dengan ibu bapa kanak-kanak tersebut yang kemudian teringat mengenai kunci pendua di rumah mereka.

"Malangnya, kunci rumah juga berada di dalam kereta menyebabkan mereka memutuskan untuk memecahkan kunci pintu rumah bagi mengambil kunci pendua kereta tersebut.

"Namun, kami tidak sempat memecahkan kunci pintu rumah kerana si bapa berjaya membimbing anaknya menekan butang menurunkan cermin tingkap kereta," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dan dalam keadaan baik walaupun terperangkap dalam keadaan panas kerana pendingin hawa kereta tidak dihidupkan.

Mohamad Noor Zahidi berkata, pihaknya difahamkan kejadian itu berlaku ketika keluarga berkenaan mahu keluar untuk membeli-belah barang keperluan.

"Ibu bapa kanak-kanak itu meletakkan anak mereka di dalam kereta dengan enjin dihidupkan dan pintu ditutup sebelum mengemas barang di dalam but kereta tersebut, namun si anak dipercayai tertekan butang kunci pintu menyebabkan dia terperangkap," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 7:06pm
d