mutakhir

81 mangsa banjir pindah ke PPS

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Mangsa banjir di daerah ini meningkat apabila seramai 81 mangsa daripada 23 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 5 petang, hari ini.

Sebelum ini pada jam 8 pagi, hanya 12 mangsa membabitkan tiga penduduk dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Maharaja Lela, di sini.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor Shaiful Azril Zainal berkata, antara kawasan terjejas banjir ialah Jalan Rezab Derahman, Jalan Tahir Manan, Jalan Parit Omar, Jalan Rizab Zazuli dan Jalan Cendrawasih.

"Seramai 23 keluarga dipindahkan membabitkan tiga bayi lelaki, dua bayi perempuan, 15 kanak-kanak lelaki, lapan kanak-kanak perempuan, 21 lelaki dan 23 perempuan.

"Turut dipindahkan empat lelaki warga emas, seorang wanita warga emas dan empat individu yang juga orang kurang upaya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pelbagai agensi memantau situasi banjir di kawasan terbabit termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, bomba, polis, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

-tamat

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 7:29pm
d