mutakhir

Geng curi ekzos tumpas, 15 ditahan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Sekumpulan penjenayah yang aktif mencuri ekzos kenderaan di sekitar daerah ini tumpas selepas polis menahan 15 ahli kumpulan itu termasuk dua warga Bangladesh.

Ia susulan tindakan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang melakukan siasatan susulan beberapa laporan kehilangan ekzos melakukan risikan dan serbuan di Gombak, Rawang serta Sentul pada 27 November lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Assisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, seramai 15 lelaki berusia antara 27 hingga 56 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu termasuk pemilik premis besi buruk berjaya ditahan.

"Hasil serbuan, polis merampas pelbagai jenis tabung ekzos kenderaan yang dicuri. Polis juga menemui semula ekzos yang sudah dipotong dan dijual di premis besi buruk serta kedai lerai komponen kenderaan.

"Suspek dipercayai menjual ekzos berkenaan pada harga antara RM500 sehingga RM2,000 mengikut jenis. Malah soal siasat dilakukan, suspek mendakwa ekzos terbabit boleh digunakan untuk melenturkan barang berharga.

"Suspek mendakwa melakukan kegiatan pada waktu malam dan mensasarkan kenderaan di parkir luar premis dan kediaman. Mereka menggunakan jet tayar untuk angkat kenderaan sebelum memotong ekzos," katanya dalam sidang media di IPD Gombak di sini, hari ini.

Arifai berkata, pihaknya masih menyiasat pembabitan kumpulan itu dan percaya ada pemilik kenderaan yang tidak membuat laporan polis mengenai kehilangan ekzos kenderaan mereka.

Katanya, semua suspek direman sehingga hari ini dan kes disiasat Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 1:22pm
d