mutakhir

Jurujual mabuk sebabkan kematian operator kilang didakwa [METROTV]

Oleh BERNAMA

Kajang: Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang operator kilang di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Jumaat lalu.

Tertuduh Hoi Yew Seng, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Mengikut pertuduhan, Hoi didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Nelzin Didal Mat Lazim, 44, di kilometer 3.8 LEKAS, Hulu Langat di sini, pada 11.35 pagi, 27 Nov lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda RM50,000 serta hilang kelayakan memandu selama 10 tahun.

Terdahulu, Hoi yang berada di dalam kandang tertuduh hanya menundukkan kepala sepanjang prosiding yang bermula jam 10.30 pagi.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Tan Teck Yew memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan alasan perniagaan anak guamnya sangat terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula.

"Tertuduh juga mempunyai tiga anak yang masih bersekolah serta isteri tidak bekerja," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Syahrul Sazly turut menetapkan 4 Februari tahun hadapan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 1:44pm
d